Alhamdulilah...entry kali ni nak kongsi tip murah rezeki. Dalam Islam sendiri dah tunjukkan cara pada kita bagaimana untuk menjemput rezeki. Bila semua ni dah buat maka mudah la insyaallah segala urusan kita. Perasan tak kadang-kadang kita rasa duit gaji banyak dah tapi macam tak cukup-cukup je..Allahuakbar minta jauh la kan..
Apapun jom kita amalkan 10 tip ni ye..mudah-mudahan kita semua menjadi lebih baik dari semalam..
Tip #1. Menyempatkan diri beribadah
Allah telah menjanjikan bahawa DIA tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis kudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
Daripada hadis kudsi ini kita dapat lihat bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah walau apa jua keadaan. justeru sesibuk manapun kita dalam melayari kehidupan ini, susunlah waktu dengan sebaiknya untuk tunaikan solat 5 waktu serta beribadah sebanyak-banyaknya.
Tip #2. Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah lafaz atau perbuatan rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah SWT, yang menjadi penyebab Allah jatuh kasih dan kasihan terhadap hamba-Nya lantas Allah berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Dengan selalu beristighfar, insya-Allah dosa-dosa kecil yang selama ini dilakukan akan dapat dihapuskan dengan izin Allah SWT.
Berdasarkan Sabda Nabi Muhammad SAW:
“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
Tip #3. Tinggalkan Maksiat
Istighfar tidak bernilai di sisi Allah sekiranya masih selalu berbuat dosa. Dosa-dosa yang dilakukan bukan sahaja akan menjadikan hati resah gelisah, malahan juga akan menutup pintu rezeki. Ia akan menjadi batu penghalang daripada rezeki mengalir kepada kita. Sudah tentu kita tidak mahu perkara sedemikian berlaku, bukan?
Istidraj, iaitu Allah tetap memberikan kekayaan dan kemewahan kepada hamba-Nya walaupun terus-menerus melakukan dosa. Perkara ini harus kita elakkan agar kemurkaan Allah dapat kita hindari..
Sabda Nabi Muhammad SAW:
“…dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
Betapa pentingnya kita menjaga amalan supaya rezeki yang Allah kurniakan kepada kita itu adalah berserta dengan berkat dari-Nya, bukannya berserta kemurkaan-Nya. Na’uzubillah!
Ayuhlah kita sama-sama menjaga amalan agar seluruh isi kehidupan kita ini diberkati oleh-Nya.
Tips #4. Sentiasa ingat Allah
Ketahuilah bahawa dengan banyak mengingati Allah, ia akan membuatkan hati menjadi tenang dan kehidupan terasa lapang. Kelapangan rezeki seperti ini hanya dapat dinikmati oleh orang-orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :-
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
(Surah Ar-Ra’d : ayat28)
Ketenteraman inilah yang sebenarnya menjadi dambaan seluruh umat manusia sama ada yang kaya mahupun yang miskin. Hanya zikirlah yang mampu memberikan ketenangan jiwa zahir dan batin kepada kita.
Tip #5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin panjang umur dan dilapangkan rezekinya, maka hendaklah mereka berbakti kepada kedua ibu bapanya serta menyambung tali silaturrahiim.
Baginda Rasulullah SAW juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan kedua ibu bapa juga menjadi sebab terbukanya pintu rezeki, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW lagi :-
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Hadis Riwayat : al-Hakim dan ad-Dailami)
Maka dengan 2 hadis sahih ini, termaktublah kepentingan kita berbakti kepada kedua ibu bapa kerana mereka yang telah bersusah payah melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya menguruskan kehidupan sendiri. Berbaktilah kepada kedua-dua orang tua selagi mereka masih bernafas kerana ia menjadi asbab yang kukuh mengalirnya sungai dan limpahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.
Tip #6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Bersabda Nabi Muhammad SAW :-
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat : Bukhari)
Tip #7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah permudahkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi Muhammad SAW lagi :-
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Hadis Riwayat : Muslim)
Tips #8. Banyakkan berselawat
Ada hadith yang menganjurkan kita supaya berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya sebuah hajat.
Tip #9. Buat kebajikan sebanyak-banyaknya
Ibnu Abbas r.a. telah berkata :-
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
Sekiranya kita sentiasa melakukan kebaikan di dunia ini, seluruh isi alam ini, pohon-pohon, alam semesta dan seluruh ciptaan Allah akan turut mendoakan kita. Bayangkanlah sekiranya semua orang dan seluruh isi alam ini menyukai dan mendoakan kita, Insya-Allah pastinya pintu rezeki juga akan terbuka luas.
Tip #10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w. berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat. Dengan berpagi-pagi, kita akan menjadi lebih cergas dan otak juga akan menjadi lebih cerdas. Apabila otak dan minda telah bersedia, segala urusan akan menjadi lebih mudah, teratur dan terurus dengan baik.
Ha kan jom bangun pagi-pagi..insyallah banyak je masa kita dan lancar je perjalanan insyallah...
Selamat Beramal :)
0 comments:
Post a Comment